Wednesday 14 December 2011

TOPIK : PENJODOH BILANGAN

Penjodoh bilangan digunakan sebelum kata nama untuk menyatakan bilangan manusia, haiwan, benda, tempat dan sebagainya.

Kata bilangan digunakan bersama-sama penjodoh bilangan.



Berikut merupakan beberapa contoh penjodoh bilangan dan penggunaannya.

Penjodoh  Bilangan             Penggunaan                                      Contoh

1.  gerombolan            untuk kumpulan penjahat           pengganas, lanun, kongsi gelap

2.  tandan                    untuk tanaman yang bertandan   pisang, pinang, kelapa sawit, kelapa

3.  ruas                        untuk benda yang beruas            buluh, tebu, rotan

4.  teguk                      untuk minuman yang diminum  air, kopi, teh

5.  rangkap                  untuk tulisan yang berangkap    pantun, sajak, syair

6.  batang                    untuk benda yang panjang         lorong, jalan, lebuh raya, sungai

7.  ulas                        untuk isi buah-buahan               durian, nangka, cempedak, manggis

8.  titik                        untuk cecair yang menitik         hujan, embun, darah, air mata

9.  kaki                       untuk benda yang bertangkai     payung, cendawan, bunga

10.  kawan                  untuk kumpulan haiwan           lembu, burung, gajah, itik
TOPIK : KATA TANYA

Kata tanya digunakan untuk bertanya bagi mendapatkan sesuatu maklumat.

Contoh kata tanya adalah seperti apa, bila, mengapa, bagaimana, siapa, kenapa, di mana, ke mana dan berapa.

Biasanya partikel ‘kah’ ditambah pada kata tanya.


Berikut merupakan contoh kata tanya dan penggunaannya.

Kata tanya                                           Penggunaan

apa                                              Bertanyakan nama haiwan, benda, tumbuhan, perkara

siapa                                           Bertanyakan nama orang

bila                                             Bertanyakan masa, waktu, tempoh, tarikh, hari, tahun, bulan

bagaimana                                  Bertanyakan cara atau langkah

mana                                           Bertanyakan tempat, lokasi, kedudukan

berapa                                         Bertanyakan bilangan, jumlah

mengapa / kenapa                       Bertanyakan sebab atau punca



Wednesday 7 December 2011

TOPIK : KATA NAMA



Kata Nama terbahagi kepada kata nama am, kata nama khas dan kata ganti nama diri. Di sini dijelaskan tentang kata nama am dan kata nama khas.


Kata nama am digunakan untuk menyebut nama sesuatu sama ada manusia, binatang, benda, tempat atau tumbuhan secara umum.
Contohnya:

Manusia - polis, murid, pekerja, kawan, ibu, kakak, nelayan,

Binatang - ular, kera, labi-labi, sesumpah, gajah, lembu, penyu

Benda - pen, kipas, komputer, kasut, pakaian, jam tangan, pasu

Tempat - tandas, pejabat pos, kedai, pasar, sekolah, taman,

Tumbuhan - bunga, pokok, sawi, terung, cili, daun


Kata nama tidak perlu ditulis menggunakan huruf besar kecuali di permulaan ayat.




Kata nama khas digunakan untuk menamai manusia, binatang, tempat dan benda secara khusus. Kata nama khas mesti ditulis dengan huruf besar

Contoh kata nama khas:

Manusia - Encik Kasim, Puan Laila, Firdaus, Chong Beng

Benda - Rolex (jam tangan), Proton Exora (kereta), Stabilo (pen)

Tempat - Kuala Lumpur, Seremban, SJK(C) Tshing Nian, Kedah

Binatang - Sang Belang, Si Comel, Si Tompok



Tatabahasa Bahasa Melayu





PENGENALAN

Setiap bahasa mempunyai tatabahasa atau nahu yang menjadi tunjang pembinaannya. Begitu juga dengan bahasa Melayu. Tatabahasa bahasa Melayu terdiri daripada penggolongan kata, pembentukan ayat, makna kata, peribahasa, laras bahasa dan sebagainya. Murid-murid sekolah perlu mempelajari aspek tatabahasa untuk menguasai kemahiran bertutur, membaca dan menulis dalam bahasa Melayu. Kesalahan tatabahasa yang dilakukan oleh murid akan menjejaskan markah mereka dalam peperiksaan. Oleh itu, guru hendaklah menekankan aspek tatabahasa semasa mengajar bahasa Melayu agar murid dapat mengelakkan kesalahan tatabahasa sama ada semasa bertutur mahupun semasa menulis karangan.

Pembelajaran aspek tatabahasa bermula dari aras rendah di peringkat sekolah rendah. Apabila melangkah ke alam persekolahan menengah, murid perlu mempelajari cabang-cabang tatabahasa yang lebih meluas. Oleh itu, penguasaan tatabahasa di peringkat sekolah rendah hendaklah kukuh agar murid berupaya mengaplikasikan tatabahasa yang dipelajari di alam persekolahan menengah yang bersangkut-paut. Sesungguhnya, pembelajaran aspek tatabahasa tiada tanda noktahnya kerana bahasa Melayu turut mengalami 'transformasi'. Justeru, guru-guru hendaklah peka terhadap perubahan dan bersedia menyampaikan pembaharuan kepada anak didik agar mereka tidak ketinggalan.